Tutorial jahit batu seremban

Sudah lama sangat berkurung di rumah akibat pandemik covid 19 yang semakin mengganas di Malaysia ni. Anak-anak dan mak anak pun dah naik bosan sebab tak tahu nak buat aktiviti apa lagi kat dalam rumah ni. Buntu.

Jadi, untuk mengisi masa lapang anak-anak supaya mereka tidak bosan. Saya terfikir untuk kenalkan permainan tradisional ini kepada anak-anak saya.

Zaman kita dulu, batu seremban ni selalu je kita main dengan kawan-kawan sebaya di kampung atau di sekolah. Batu pun boleh je kutip kat tepi jalan je. Tapi, sekarang ni zaman dah berubah. Hidup di bandar. Mana lah nak dapat kutip batu kan?

Jadi, saya fikir lebih baik saya buatkan saja batu seremban untuk anak-anak. Lagipun, mesin jahit saya tu dah lama tak berusik sejak ada baby baru ni. Boleh la cuba jahit batu seremban beserta dengan pouch bag sekali.

Penting ada pouch bag ni supaya mereka tahu mana nak simpan batu seremban tu selepas habis main. Lagi satu kebaikannya adalah, ianya lebih selamat berbanding menggunakan batu sebenar. Risau dibalingnya ke cermin atau tv. Ibunya pulak yang menangis tak berlagu nanti. Aduhai!

Baiklah, jom kita mulakan dengan tutorial menjahit batu seremban terlebih dahulu. Saya menggunakan mesin jahit untuk menjahit batu seremban ini. Tetapi, sekiranya tiada mesin jahit kita boleh jahit menggunakan tangan je.

Langah-langkah menjahit batu seremban adalah seperti berikut:

  1. Ukur dan potong kain mengikut saiz 1.5inci x 3inci.
  2. Lipat dua dan jahit sekeliling kecuali di bahagian atasnya.
  3. Terbalikkan kain dan isikan dengan manik, beras, kacang, atau kacang hijau.
  4. Lipatkan ke dalam kain di bahagian atas. Kemudian jahit secara melintang seperti di dalam gambar. Apabila dah siap, batu seremban ini berbentuk segitiga.

Biasanya kami main 7 biji batu seremban masa di kampung dulu. Seronok dapat bermain sama-sama bersama kawan-kawan sebaya. Riuh rendah dengan suara keterujaan kami berlawan main batu seremban ni. Seronoknya lah kan zaman kanak-kanak kita dulu.

Jom tonton video tutorial ni untuk lebih faham.

Namun, sekarang ini anak-anak kita tidak dapat merasai keseronokan itu. Mereka hanya terkurung di dalam rumah sampai ada yang stress dan tantrum. Ada bagusnya juga kita ajak mereka bersama bermain batu seremban ni. Satu keluarga boleh main permainan ini.

Dah ada batu seremban, mestilah kena ada tempat nak simpannya. Kalau tidak nanti jenuh nak mencarinya. Biasalah kan anak-anak, merata diletaknya nanti batu seremban tu.

Jadi, dalam entri kali ini juga saya sertakan cara untuk menjahit pouch kecil batu seremban. Caranya mudah sahaja. Bahan-bahan yang diperlukan cuma kain dan tali atau reben je.

Langah-langkah menjahit pouch bag batu seremban adalah seperti berikut:

  1. Ukur dan potong kain mengikut saiz 8inci x 4inci sebanyak 2 helai.
  2. Jahit sekeliling kecuali 1.5 inci di bahagian atasnya.
  3. Letakkan 2 tali sepanjang 18inci secara bersilang di bahagian atas kain.
  4. Jahit bahagian atas kain tadi dengan talinya di dalam.
  5. Jahit di kedua-dua bahagian atas kain tadi. Siap.

Permainan batu seremban ni bagus untuk mengasah kemahiran motor anak-anak kita. Mereka akan belajar cara untuk mengkoordinasi pergerakan tangan, otak dan mata. Melalui permainan ini jugak anak-anak akan belajar cara untuk mengekspresikan perasaan mereka.

Selamat mencuba.

Continue Reading